Seorang lelaki berusia di Indonesia yang dikenali sebagai Zainuddin menjadi tular di media sosial setelah membina rumah yang diibaratkan istana bawah tanah.
Menerusi satu video yang berlegar di media sosial, jelas kelihatan Zainuddin sedang asyik menggali tanah dengan peralatannya.
Menariknya, rumah bawah tanah itu bukan sahaja menyerupai bentuk lorong kecil, malahan, pintunya juga direka dengan pelbagai bentuk kreatif.
Selain itu, terdapat juga tangga kecil yang dihiasi dengan rumput hijau, menjadikan ia menyerupai permaidani. Turut serta, ialah lubang besar seperti perigi.
Akui Zainuddin, dia membina rumah bawah tanah itu dengan sendiri dengan proses pembinaannya memakan masa hampir dua tahan.
“Sudah hampir dua tahun, bulan sembilan ini akan genap dua tahun. Ya, saya sendirian,” katanya.
Zainuddin yang juga mesra disapa Atuk Cireng mengatakan bahawa rumah bawah tanah itu dibina berdasarkan pengalamannya di Malaysia, iaitu ketika dia menjadi tukang batu.
Kongsinya, tiada cara khusus yang digunakannya untuk membina rumah bawah tanah itu, apatah lagi belajar menerusi YouTube kerana menurut Zainuddin, dia sendiri pun tidak memiliki telefon bimbit.
Terdahulu, Zainuddin difahamkan tinggal bersendirian di pondoknya setelah ditinggalkan isteri dan anak-anak.
“Saya membina rumah bawah tanah ini hanya untuk hiburan. Tiada sebab lain,” kata Zainuddin kepada media tempatan.
Sumber: [1]