Kita pasti pernah berdepan dengan situasi bila mana ibu dan bapa kita menghadkan televisyen semasa kita kanak-kanak.
Perkara sama dipraktikkan pasangan ibu dan bapa dari China ini yang turut melarang anaknya berusia lapan tahun daripada menonton TV terlampau banyak.
Namun anak mereka ini telah melanggar peraturan sehingga pasangan suami isteri ini mendenda anaknya itu dengan memaksa kanak-kanak ini menonton TV dengan lebih banyak lagi.
Kejadian berlaku di Hunan, China selepas kanak-kanak itu disuruh untuk menyiapkan kerja sekolahnya dan perlu tidur pada jam 8:30 malam. Namun selepas ibu dan bapanya pulang, kanak-kanak itu dilihat masih leka menonton TV, tidak menyiapkan kerja sekolah dan juga tidak masuk ke bilik tidur meskipun jam sudah melepasi waktu sepatutnya.
Berang dengan kelakuan anak mereka ini, pasangan itu tidak terus marah sebaliknya membuka rancangan televisyen kegemarannya dan memaksa anak itu untuk menonton sepuas-puasnya.
Pada awalnya, anak kecil itu dilihat gembira kerana dapat menonton rancangan kegemarannya, namun selang seketika beliau dilihat sukar untuk memberi tumpuan dan berasa mengantuk. Beliau juga cuba untuk masuk ke dalam bilik, namun ibunya memaksa anaknya itu untuk terus menonton TV meskipun ketika itu jam sudah pun menunjukkan pukul 2 pagi.
Rakaman dari CCTV yang menunjukkan aksi denda ini juga tular di media sosial. Ramai yang mengkritik cara pasangan ibu dan bapa ini dalam memberi pengajaran kepada anak mereka.
Kanak-kanak itu akhirnya dibenarkan untuk tidur pada jam 5 pagi selepas ibu dan bapanya berpuas hati dengan denda yang diberikan kepadanya.
Tidak dapat dipastikan sama ada kanak-kanak itu dapat belajar sesuatu daripada denda yang diberikan ini, atau ia bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan mindanya.
Sumber: Oddity Central