Nama Zizi Kirana bukanlah satu nama yang asing dalam industri hiburan tanah air.
Penyanyi ini juga telah tampil dengan imej berhijab sejak setahun lalu dan katanya mahu terus kekal istiqamah dengan penampilannya itu.
Memetik laporan, Zizi berkata beliau juga tidak pernah merindui penampilan terdahulu dan nekad untuk terus berdoa kekal dengan penampilan sekarang.
“Sebenarnya nak istiqamah itu yang paling susah untuk dilakukan. Sebab itu ketika awal-awal pasang niat untuk bertudung, saya buat secara perlahan-lahan. Bukan drastik. Saya mulakan ketika bulan Ramadan.
“Kiranya saya praktikkan supaya perubahan tersebut tidak terlalu mengejut untuk diri sendiri. Macam sekarang apa-apa persalinan yang saya pakai, saya akan tengok dulu sama ada sesuai atau tidak.
“Dari segi kerjaya pun sama. Apabila buat persembahan kena tengok penampilan. Banyak benda yang perlu diambil kira. Ada batas perlu dijaga. Berbeza berbanding dahulu.
“Saya tidak pernah terdetik pun rasa rindu (penampilan lama). Saya nekad, memang terus berdoa untuk kekal penampilan sekarang. Cuma bagi saya jangan sebab kita nak berhijrah kerana orang lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, masyarakat tidak seharusnya mengecam individu yang kembali untuk tidak bertudung sebaliknya mendoakan sahaja.
“Saya rasa kasihan kerana kita tidak tahu apa yang mereka hadapi. Apakah dugaan sampai ada yang terpaksa berbuat sedemikian.
“Saya percaya itu satu keputusan yang berat. Tapi saya nak komen lebih-lebih pun tak boleh. Kalau terjadi kepada diri sendiri bagaimana?
“Saya pun tak pasti perjalanan hidup saya nanti. Kita tak berada dalam kasut mereka. Jadi lebih elok kalau kita doakan yang baik-baik saja,” katanya.
Sumber: Kosmo!