Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai pelakon Zarina Zainuddin yang mengakui bahawa dia sanggup membayar mana-mana wanita yang ingin berkahwin dengan menjaga anaknya, yang juga penghidap autisme, iaitu Azal, 25.
Rentetan daripada penyataan tersebut, Zarina mendedahkan dia menerima banyak mesej daripada kaum wanita di Instagram yang meluahkan hasrat mereka untuk berkahwin dengan anaknya itu.
Kongsinya kepada satu akhbar tempatan, kesemua wanita yang menawarkan diri mereka untuk berkahwin dengan Azal berlatar belakangkan umur yang berlainan, ada yang berumur 36 tahun, bahkan ada juga yang sebaya dengannya.
“Ini semua mesti sebab gaji tu,” tambahnya.
“Tapi macam yang saya cakaplah, Azal memilih sikit. Dia nak yang vogue saja. Dia nak lawa, tak pakai tudung, kaki panjang, putih melepak dan hidung mancung.”
Lanjutnya lagi, dia memilih untuk tidak membalas mesej-mesej yang diterima itu.
“Bukan tidak mahu balas mesej tapi takut nak beri harapan sebab tahu anak saya ini memilih. Apa yang anak saya gambarkan rasanya hanya dogengan dalam khayalannya saja. Saya pasrah.
“Jika ada rezeki mungkin Azal belajar menerima seadanya. Alhamdulillah. Jika tidak biarlah dia tunggu bidadari di syurga nanti.”
Sekadar perkongsian, Azal juga mempunyai adik-beradik kembar, Azil yang turut menghidap autisme.
Namun menurut Zarina, sementara Azil bergantung pada keperluan ubat, Azal pula menghidap autisme tahap sederhana.
Sumber: [1]