Setahun Tak Jumpa Syamsul, “Jangan Tunggu Dah Tiada Baru Nak Cari,” – Datuk Yusof Haslam

Baru-baru ini, penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan sudah lebih setahun tidak berjumpa Syamsul, malah anak lelakinya itu juga sudah setahun tidak pulang ke rumah bertemu keluarga.

setahun tak jumpa syamsul, “jangan tunggu dah tiada baru nak cari,” – datuk yusof haslam

Ujarnya, perkara itu terpaksa diluahkan supaya anak lelakinya itu tidak berputih mata andai beliau mahupun isteri, Datin Patimah dijemput Illahi terlebih dahulu sebelum mereka sempat berjumpa.

 

“Jangan tunggu bapa kau dah tak ada baru nak cari. Kami sudah menjangkau usia 70 tahun depan. Ramai rakan seperjuangan saya telah pergi,” ujar beliau.

 

Tambah penerbit terkenal itu lagi, tiada apa yang lebih penting dalam kehidupan mereka melainkan kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak.

 

“Jangan anggap apa yang ibu bapa luahkan kerana mahu merendahkan kamu. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik.

“Papa rasa jiwa kamu akan lagi tenang kalau kamu berbaik dengan keluarga, terutama ibu.

“Wang bukan segala-galanya. Dalam solat kami mendoakan kamu,” ujarnya lagi sambil berkata kali terakhir mereka bertemu adalah sekitar 2022.

setahun tak jumpa syamsul, “jangan tunggu dah tiada baru nak cari,” – datuk yusof haslam

“Saya pun tak ingat bila kali terakhir (balik). Rasanya tahun sudah (lalu) bila mak mentua saya sakit. Itu pun mak dia hubunginya, kami ada berbual sekejap.

“Sebelum itu dah bertahun dia tak balik. Tak mengapa, saya tak marah. Tak anggap bukan-bukan. Kalau dia tak mahu balik pun terserlah,” tambah beliau lagi.

 

Dalam nada sebak, Yusof juga tidak mampu menahan air mata mengenangkan anak sulungnya itu meskipun apa yang pernah berlaku selama ini dan ia tidak langsung mengubah kasih sayang keluarga terhadapnya.

 

“Mestilah rindu. Kita sayang anak kita kan. Tiada istilah kita benci anak sendiri tapi jiwa saya dan isteri sebenarnya dah tenang.

“Saya dah letih menangis sampai bengkak mata. Kami terima semua yang berlaku ini.

“Kepada Syamsul, papa doakan semoga filem-filem berjaya, KL Gangster dapat sambutan yang baik.

“Papa akan tetap menyokong walaupun kamu tak bersama Skop Production. Tiada dendam, benci. Papa tetap sokong kamu,” luahnya.

 

Sumber: Kosmo!