Penantian Tujuh Tahun Berakhir, Yuna Kini Kembali Dengan Single Bahasa Melayu!

Penyanyi yang telah mencipta nama diperingkat antarabangsa, Yuna, kini kembali dengan karya berbahasa Melayu khas buat para peminat.

penantian tujuh tahun berakhir, yuna kini kembali dengan single bahasa melayu!

Penantian selama tujuh tahun akhirnya terjawab apabila Yuna kembali dengan lagu terbaharu berjudul ‘Menanti’, dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna sendiri bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Kenny J Macartney dan diterbitkan oleh Yuna Music.

 

“Sudah 7 tahun rupanya, sehingga saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas! Bagi saya, untuk menanti inspirasi itu datang adakalanya lambat dan tidak boleh dipaksa-paksa.

“7 tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga saya untuk pembikinan album terdahulu seperti ‘Chapters’, kemudian ‘Rouge’, dan yang terbaharu ‘Y5’, di mana setiap album saya harus persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar Amerika Syarikat, dan pandemik COVID-19 melanda, terlalu banyak yang berlaku,” ujar nama pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai, 36 tahun.

penantian tujuh tahun berakhir, yuna kini kembali dengan single bahasa melayu!

Yuna dalam pada lain mahu memberikan fokus terhadap single dan EP (extended play) yang akan dilancarkan tidak lama lagi, maka beliau enggan terburu-buru untuk menghasilkan album seterusnya.

 

“Selain single dan EP, saya juga mahu fokus bersama keluarga dan tidak sabar beraya bersama. Selepas berakhirnya pandemik, dalam bulan Ogos pada tahun 2021, saya dan suami pulang ke Los Angeles setelah lebih kurang 18 bulan berada di Malaysia, kami pergi ke sebuah tempat bernama Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan salah satunya adalah MENANTI.

“Ketika itu, MENANTI masih belum dihasilkan sepenuhnya dan hanya melodinya sahaja. Kemudian pada Januari 2023, setelah membelek fail-fail lama, saya terjumpa melodinya semula dan mula menulis liriknya, pada mulanya saya mahu menulis dalam bahasa Inggeris tetapi yang keluar adalah bahasa Melayu, maka terhasillah MENANTI.

“Single MENANTI adalah sebuah lagu cinta yang menceritakan tentang kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh, seseorang yang telah pergi tetapi masih lagi terpatri di hati, sebuah ikrar setia MENANTI seseorang yang amat dikasihinya.

penantian tujuh tahun berakhir, yuna kini kembali dengan single bahasa melayu!

“Bagi saya, apabila menulis lirik lagu ini, saya terkenangkan Allahyarhamah sepupu saya, Amy, dia juga merupakan teman baik saya, hidup saya seakan hancur apabila mengetahui bahawa dirinya kini sudah pergi buat selamanya, jadi secara organiknya, saya curahkan jiwa saya ke dalam lagu ini. Ketika saya perdengarkan lagu ini kepada beberapa rakan artis, mereka merasa sedih walaupun bait-bait liriknya seperti lagu cinta,” jelas Yuna.

penantian tujuh tahun berakhir, yuna kini kembali dengan single bahasa melayu!

Lagu ‘MENANTI’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

 

Manakala audio single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Yuna.