Bintang Mat Kilau, Yayan Ruhian, 54, menolak dakwaan bahawa bayaran yang diterima untuk khidmat lakonannya terlalu tinggi sehingga ada penerbit yang takut untuk memberi tawaran kepadanya.
“Siapa yang cakap harga saya mahal? Bagi saya ia relatif. Saya beri contoh, kalau sepatu atau sandal, tentu harga kedua-duanya berbeza bukan? Tinggal lagi anda mahu pilih mahu beli sepatu atau sandal? Kalau perlukan sandal, jangan beli sepatu.
“Sepatutnya pun ada grednya. Jadi, bagi saya ia sangat relatif. Angka bukan nombor satu. Ada hal yang lebih penting daripada soal harga,” ujarnya kepada satu portal akhbar tempatan.
Sebagai tambahan, Yayan juga berkata dia akan meneliti pihak yang dia bakal bekerjasama terlebih dahulu sebelum mengambil sesuatu tawaran.
“Saya akan lihat dengan siapa saya akan bekerja, siapa pengarahnya, produksi mana dan sebagainya. Kalau yang tawarkan itu dalam kalangan teman-teman, ada ketika, saya akan setuju sahaja untuk berlakon walaupun belum ada hitam putihnya.
“Saya akan runding dengan pengurus. Dalam kalangan orang industri, mereka pasti tahu bayaran adalah sesuai dengan pengalaman saya.
“Kalau saya bekerja dengan produksi Indonesia atau Asia, pengurus saya tidak akan letak harga seperti yang saya terima di Hollywood. Di Hollywood pun, kita tak minta harga sebab mereka sudah ada kadar bayaran yang ditetapkan,” jelasnya.
Pelakon filem Hollywood iaitu John Wick: Chapter 3 turut menyatakan dia bagaimanapun tidak mengambil hati dengan dakwaan tersebut.
“Tidak tersinggung pun. Cuma, kadang-kadang saya tahu, mungkin ada yang takut nak ambil saya berlakon kerana mendengar cakap-cakap belakang seperti itu. Usah begitu. Kalau ada bajet kecil pun, boleh bincang dengan saya.
“Saya rasa tidak enak dibilang jual mahal, tetapi jauh lebih tidak enak jika dibilang murahan. Biarlah angka itu relatif, tidak mahal, tidak murah. Namun, usah bimbang kalau mahu ambil saya berlakon, boleh tanya dan berbincang,” ujarnya.
Sumber: Utusan