Warga Emas Positif COVID-19 'Menyorok' Di Kebun

Kerana enggan dibawa ke hospital akibat COVID-19, seorang warga emas menyembunyikan dirinya di sebuah kebun di Kampung Kuala Tongod, Sabah pada Isnin lalu.

warga emas positif covid-19 'menyorok' di kebun

Bagaimanapun, lelaki yang berusia 69 tahun itu akhirnya ditemui penduduk sekitar jam 6.30 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, lelaki tersebut telah selamat dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di Tongod.

“Pada jam 6.50 petang, polis menyerahkan warga emas berkenaan kepada petugas KKM,” jelasnya.

Terdahulu, warga emas tersebut dikatakan melarikan diri ketika hendak dibawa ke Hospital Sandakan untuk menerima rawatan setelah dia didapati positif COVID-19.

Dalam kejadian tersebut, sepasukan petugas KKM datang untuk mengambil warga emas itu agar dapat dibawa ke hospital.

Mereka kemudian membuat tinjauan ke rumah lelaki itu dan mendapati dia sedang mengemas barang di luar rumahnya sebelum dia didapati menghilangkan diri tidak lama selepas itu.

 

Sumber: [1]