Penyanyi terkemuka, Wany Hasrita mendedahkan dirinya dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, kembali menjalani hubungan jarak jauh selepas sebulan melayari bahtera perkahwinan.
Terdahulu, pasangan pengantin baru itu bercuti selama sebulan untuk meluangkan masa bersama sebelum kembali sibuk dengan kerjaya masing-masing, menurut Wany.
“Sebelum ini dua minggu saya duduk di rumah suami di Kuching, Sarawak dan sekarang baru kami kembali bekerja. Kami berdua masing-masing ambil cuti sebulan sebab tahu selepas ini memang susah nak jumpa.
“Alhamdulillah, biarpun kami menjalinkan hubungan jarak jauh, semuanya okay kerana masing-masing memahami. Kami juga setiap hari berhubung dan membuat panggilan video. Diharapkan persefahaman ini sampai bila-bila.
“Sepanjang bercuti pun kami berdua banyak lepak di rumah, sebab kami tahu apabila sudah kembali bekerja nanti, tiada peluang nak bersama. Lepak di rumah adalah momen yang seronok buat kami berdua,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu “Menahan Rindu” itu juga berkata yang dia masih menerima ucapan tahniah atas perkahwinannya yang dilangsungkan pada 22 Julai lalu.
Tambahnya, rata-ratanya masih belum ada sesiapa yang mengajukan soalan mengenai cahaya mata kepada dia dan pasangan.
“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi yang bertanya mengenai cahaya mata. Sekarang ini ke mana saya pergi dan berjumpa orang, mereka banyak mengucapkan selamat pengantin baru memandangkan saya pun baru sebulan berkahwin.
“Kalau ada bertanya pun tak mengapa sebab saya rasa pada usia 30 tahun ini, penerimaan saya pada pertanyaan orang ramai agak tenang. Saya juga lebih relaks.
“Tiada apa nak kecil hati dan seumpamanya. Tapi perlu diingatkan, 'common sense' itu perlu pada setiap orang,” ujarnya.
Sumber: HMetro