Varian COVID-19 Dari India B.1.617 Kini Dikesan Di Malaysia

Sejumlah 30 lagi varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan pandemik COVID-19 kini dikesan lagi di Malaysia.

varian covid-19 dari india b.1.617 kini dikesan di malaysia

Ia melibatkan 27 kes dengan varian Afrika Selatan (B.1.351) dan tiga kes bagi varian United Kingdom (B.117), seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2 Mei.

 

“Ini juga adalah laporan pertama mengenai VOC Afrika Selatan di Perak dan Kelantan yang membabitkan beberapa kluster penting dengan 10 kes di setiap negeri. Selain itu, kami masih mengesan varian itu di Selangor dengan tujuh kes.

“Bagi varian UK, dua kes dikesan di Selangor menakala satu kes di Sandakan, Sabah (laporan pertama mengenai VOC di Sabah), yang membabitkan seorang individu bukan warganegara. Ini juga adalah laporan pertama mengenai varian itu dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara sekali gus mencadangkan bahawa ia adalah jangkitan tempatan,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

 

Kesemua kes baharu ini dikesan menerusi 59 penjujukan seluruh genom yang dijalankan dari 24 April sehingga 1 Mei oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

 

Tambah lagi, kes pertama varian dari India iaitu B.1.617 turut dikesan daripada seorang rakyat India yang menjalani ujian saringan di KLIA.

 

 

Sehingga kini, sebanyak 48 kes bagi varian Afrika Selatan (B.1.351), 8 bagi varian UK (B.117), 1 bagi varian India (B.1.617), 2 bagi varian Nigeria (B.1.525) dan satu bagi varian keturunan C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

 

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk kekal bertenang dan memberi kerjasama dalam mengatasi pandemik COVID-19 di Malaysia.

 

Sumber: BERNAMA