Vaksin Pfizer-BioNTech Kini Lulus Untuk Golongan 12 Tahun Ke Atas

Kerajaan Malaysia kini bersetuju untuk membenarkan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.

vaksin pfizer-biontech kini lulus untuk golongan 12 tahun ke atas

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 yang bersidang 15 Jun 2021.

 

Menurutnya, vaksin Comirnaty yang sebelum ini diluluskan bagi tujuan imunisasi aktif hanya untuk individu berusia 18 tahun dan ke atas.

 

“Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya lagi, mesyuarat berkenaan juga bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin keluaran CanSino Biologics Inc dan dan vaksin Janssen COVID-19 keluaran Johnson & Johnson.

 

“KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK,” katanya.

 

 

Sumber: Utusan