Baru-baru ini, suami kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Ubai MZ mencuri perhatian ramai selepas video menunjukkan mereka berkunjung ke sebuah kedai menjual motosikal mengundang spekulasi netizen.
Menerusi video tersebut, Ubai, 25, yang juga seorang pempengaruh media sosial, bersama isterinya, Shila, 33, berkunjung ke sebuah kedai menjual motosikal bagi membeli kenderaan itu.
“Hai, Assalamualaikum. Tadi saya solat Jumaat. Saya cakaplah kalau ada motorsikal ‘best’, boleh solat Jumaat (tunggang motosikal ke masjid).
“Selepas itu, orang belakang (merujuk kepada Shila) cakap, cari motorsikal,” kata Ubai dalam video berkenaan.
Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang dilihat kurang senang sehingga mendakwa Shila mengeluarkan wangnya untuk membelikan motosikal tersebut.
Pemilik nama sebenar Muhammad Ubaidullah Mohd Zulkefli akhirnya tampil menjelaskan motosikal jenama Honda Vario 160 Limited Edition itu dibeli olehnya menggunakan duit sendiri.
“Saya beli motosikal ini guna duit sendiri… Harap maklum,” katanya.
Shila Amzah dilihat turut membuat kenyataan balas kepada peminat yang membuat tuduhan itu.
“Masalahnya, ‘benda’ (motosikal) dia, duit Ubai… Kenapa orang selalu anggap semua guna duit saya?
“Oh lupa, duit suami, memang duit isteri. Kalau itu maksud kalian, Sha terima dengan hati dan tangan terbuka,” balas Shila.
Terdahulu, Ubai dan Shila selamat mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos lalu. Shila sebelum ini pernah bercerai dengan bekas suami pada Februari 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Seth Uwais yang kini berusia 4 tahun.
Sumber: Instagram Ubai