TUDM Kesan 16 Pesawat Tentera China Mencurigakan Lalu Di Ruang Udara Zon Maritim Malaysia

16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dilaporkan telah menghampiri ruang udara Malaysia pada Isnin lalu.

tudm kesan 16 pesawat tentera china mencurigakan lalu di ruang udara zon maritim malaysia

Perkara tersebut disahkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, pesawat mencurigakan itu telah memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional.

Kejadian tersebut dikesan radar pertahanan udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak sekitar jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 baru nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, “Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.”

Berikutan itu, pihak TUDM telah mempersiapkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan menerusi Operasi Curiga TUDM.

Berdasarkan hasil,yang diperoleh daripada pemintasan udara, kesemua pesawat itu dikenal pasti TUDM sebagai jenis Llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

Difahamkan bahawa pesawat jenis tersebut merupakan pengangkut strategik dan mempunyai kemampuan untuk menjalankan pelbagai misi.

Dalam pada itu, Kementerian Luar telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut menerusi Kementerian Pertahanan.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN