Penyanyi popular, Tomok terpaksa membayar sejumlah RM5,593 kepada sebuah butik berjenama di sebuah pusat beli-belah terkemuka apabila anaknya secara tidak sengaja tertumpah pengilat kuku pada baju dan seluar di butik itu, malam tadi.
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 39, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mereka ke butik itu untuk membeli seluar.
Namun secara tidak sengaja, anaknya tertumpahkan pengilat kuku ke atas empat helai seluar yang setiap satunya berharga RM1,299 serta baju berharga RM899 dan RM499.
Kejadian itu menyebabkan pengurusan butik berkenaan tidak membenarkan penyanyi itu keluar dari premis itu selagi dia tidak membuat pembayaran ganti rugi terhadap pakaian yang sudah rosak. Mujur pihak butik memberikannya diskaun untuk ganti rugi yang akhirnya berjumlah RM5,593.
"Saya tak boleh buat apa. Saya tak boleh keluar dari kedai ini. Tak mengapa, saya akan bayar dan selepas ditolak diskaun, jumlahnya adalah RM5,593," katanya.
Malah Tomok menambah, pakaian itu nanti akan dijualnya semula kerana saiznya terlalu besar untuk dirinya dan memohon orang ramai yang berminat untuk membelinya.
"Tapi saya tak jual dengan harga asal. Pengilat kuku hanya terkena sikit saja, tapi saya faham ini peraturan dan saya perlu bayar ganti rugi. Saya mengaku ini silap saya," katanya.
Sumber: Instagram Tomok