Penyanyi dan juga peserta program Gegar Vaganza 9 (GV9), Tom mendedahkan beliau baru sahaja mengalami keguguran selepas kandungannya mencecah tiga minggu.
Menurut pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, beliau mengalami keguguran pada Selasa lalu.
“Sebenarnya saya baru mengalami keguguran.
“Kandungan pun baru masuk tiga minggu. Mungkin belum ada rezeki kami,” katanya.
Tambah isteri kepada Fuad Rahman ini lagi, beliau sudah membuat persiapan seperti merakam video untuk berkongsi khabar gembira ini bersama peminat sebaik sahaja mendapat tahu tentang kehamilan itu.
Namun hasratnya itu tidak kesampaian kerana mengalami keguguran ketika sedang hamil tiga minggu.
Katanya lagi, keguguran itu mungkin juga disebabkan gaya hidupnya yang terlalu aktif sebelum ini.
“Ketika dapat tahu hamil, kami sudah rakam video nak kongsikan kepada peminat tetapi tiba-tiba saya mengalami pendarahan. Apabila saya buat pemeriksaan, doktor kata saya bayi sudah tiada.
“Mungkin kandungan masih baru lagi dan senang nak ‘jatuh’. Saya pula jenis seorang yang aktif seperti buat aktiviti meluncur air,” jelasnya.
Tom bagaimanapun akur dan redha dengan ketentuan Illahi dan akan lebih bersedia untuk menimang cahaya mata selepas ini.
Sumber: Kosmo! Online