Salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ke-9, Tom bakal tampil dengan imej baharu menjelang persembahan ketiganya pada pertandingan itu hujung minggu ini.
Menurut pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu berkata keputusannya untuk membuka kembali rambut gaya dreadlock itu juga tanda dia bersungguh-sungguh untuk kembali ke pesada muzik tempatan.
Gaya rambut dreadlock yang ditampilkan oleh Tom adalah disimpan olehnya sejak dari 2007 lagi dan ujarnya beliau akan tampil dengan gaya rambut baharu tidak lama lagi.
"Saya akan datang dengan imej baharu, hari Isnin saya buka rambut 'dreadlock'. Saya buat dari tahun 2007, tapi saya buka pasang balik. Rambut saya sekarang paras bahu.
"Nak buka memang ada caranya cuma azablah, kalau buat pun tiga hari. Saya tak rasa akan siap dalam masa sehari. Kalau buka nanti memang sakit dan akan menangislah. Nama pun dreadlock, dah lock dah.
"Kalau boleh bila buka ni saya takkan tunjuk pada sesiapa sampailah hari konsert ketiga nanti," katanya kepada Astro Gempak.
Ditanya mengenai kos dan cara penjagaan rambut dreadlock yang dikatakan susah dan mahal, Tom berkata rambut itu dibuat oleh bekas suaminya secara percuma pada masa itu.
Ujarnya, bagi penjagaan rambut dreadlock, servis untuk memasukkan rambut yang terkeluar adalah lebih kurang RM250 dan tidak memerlukan sebarang syampu khas, cukup sekadar syampu biasa dan cuci setiap hari.
Tom bakal tampil dengan lagu Goyang Inul nyanyian asal Inul Daratista pada minggu ketiga Gegar Vaganza musim ke-9 hari Ahad ini, 2 Oktober.
Sumber: Astro Gempak