"Eh! Biar betul, aku ni layak ke?"
Masih tidak percaya terpilih sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke-9, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram bersyukur diberi peluang kedua.
Mengakui gagal menggunakan peluang diberi selepas muncul juara sebuah program realiti TV lebih sedekad lalu, Tom mahu menjadikan GV9 sebagai platform 'menjual' semula bakatnya.
"Tom menyesal sebab tak bagi komitmen betul-betul dekat syarikat rakaman sebelum ni. Bukan senang Tuhan nak bagi kita second chance, so Tom memang nak gunakan peluang ni sebaiknya", katanya selepas majlis pengenalan barisan peserta GV9 di Menara Kuala Lumpur.
Ibu tunggal kepada tiga orang anak ini dalam pada itu berkata, arwah bapanya antara pencetus semangat sebelum dia dipanggil untuk ke sesi uji bakat GV9.
"Dia yang paling excited bila Tom nak masuk GV sampai dia sendiri ingatkan Tom hari audition walaupun dia sebenarnya seorang yang pelupa. Tapi tak sempat, abah dah pergi".
Sementara itu, Tom berkata, dia menerima pelawaaan menyertai Gegar Vaganza 9 bukan hanya untuk suka-suka tetapi untuk mengubah nasib diri dan anak-anak.
"Mungkin ada orang cakap kita masuk ni untuk seronok-seronok tapi Tom sebenarnya tengah susah sekarang ni dengan kehidupan single mother. So Tom memang nak masuk untuk duit. Tom nak duit tu untuk bahagiakan anak-anak Tom".
Tambah Tom, walaupun kurang dikenali berbanding peserta lain, dia mahu buktikan pada ahli keluarga dan pada anak-anak yang dia bukan penyanyi kelab dan penyanyi tepi jalan tetapi penyanyi di atas pentas.
Gegar Vaganza 9 akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan Ria HD juga boleh distrim menerusi platform On Demand dan Astro GO.
Oleh Shah Rahimin Rosle