‘GV9 Paling Berat’ - Tokram Ulas Mengenai Barisan Peserta Gegar Vaganza Musim Baru

Ketua juri Gegar Vaganza musim ke-9, Datuk Ramli MS mendedahkan dia berasa teruja untuk melihat barisan peserta musim terbaru program realiti nyanyian itu untuk berentap tidak lama lagi.

‘gv9 paling berat’ - tokram ulas mengenai barisan peserta gegar vaganza musim baru

Menurutnya, kesemua 13 peserta yang terpilih merupakan yang hebat-hebat belaka dalam berkarya.

“Saya cukup teruja sebab di dalam tu semua yang masuk, mereka nak menyanyi, berkarya, mereka pejuang.

“Itu yang saya cari, mereka berkarya dalam nyanyian. Gelanggang (GV9) inilah yang patut mereka masuk.

“Pada saya ini GV9 paling berat sebab ramai yang bersuara heavyweight, Mike Tyson pun tumbang,” katanya yang juga mesra disapa Tokram.

Beliau turut menambah yang barisan juri tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menjuri secara telus sebaik persaingan bermula.

“Minggu pertama memang mereka akan berjoli, masuk minggu kedua, ketiga, mereka akan menyanyi lagu orang.

“Bila menyanyi lagu orang, kami menjuri secara intelektual. Kami nak mereka menyanyi lagu orang, jadikan versi mereka sendiri yang kami tak pernah dengar.

“Sebelum menyanyi memang kami beri 100 markah. Bila menyanyi salah, kami akan potong markah.

“Disebabkan tahap GV9 ni, pada saya semua aspek teknikal nyanyian mereka tidak perlu dipertikaikan dan tak perlu diberi markah.

“Berdasarkan tiga minit atas pentas tu, macam-macam boleh jadi,” katanya.

Dalam pada itu, dua lagi nama yang bakal menggalas posisi sebagai juri tetap di samping Tokram adalah Datuk Syafinaz Selamat dan bonda Hetty Koes Endang.

 

Sumber: Astro AWANI

ARTIKEL BERKAITAN