Maestro ternama, Datuk Ramli MS yang mesra disapa Tok Ram mengakui kehebatan musim terbaru Gegar Vaganza yang rata-ratanya menampilkan barisan peserta hebat dan berbakat besar dari arena muzik tanah air.
“Kalau setiap minggu mereka menyanyi sebaik ini, industri muzik akan ke tahap lebih tinggi. Sembilan tahun, akhirnya saya dapat lihat kebijaksanaan beberapa peserta membuat persembahan.
“Jaclyn contohnya, pernah kamu lihat dia menyanyi lagu dalam versi tersebut? Tidak pernah. Terserlah kebijaksanaannya dalam muzik dan kematangannya ketika membuat persembahan. Sesuatu yang tidak pernah disangka,” ujarnya.
Minggu lalu, peserta Jaclyn Victor menduduki tangga pertama, diikuti dengan Shila Amzah dan Tomok di tangga kedua dan ketiga masing-masing.
Dalam pada itu, Tok Ram turut mengulas tentang isu penyertaan Jaclyn ke dalam program realiti terbabit yang menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen.
Menurut beliau, Gegar Vaganza merupakan platform terbaik bagi seseorang peserta berpengalaman itu untuk membuktikan kebijaksanaannya berkenaan muzik.
“Ini bukan soal menyanyi sedap atau all out bila membuat persembahan, sebaliknya kita mahukan sesuatu yang tidak dijangka.
“Disebabkan itu bila ada yang mempertikai penyertaan Jaclyn, saya cakap dia patut masuk untuk membuktikan kebijaksaannya dalam muzik. Itu real artist!
“Kamu tengok macam mana dia menyanyi malam tadi, itu sesuatu yang cukup hebat. Ini bukan tempat untuk kita tahu siapa boleh menyanyi atau tidak kerana semua tahu mereka adalah penyanyi.
“Cuma, kebijaksanaan itu yang membezakan antara seorang penyanyi dengan seorang penyanyi yang lain,” ujarnya.
Sumber: Utusan