Pelakon, Fizo Omar mendedahkan dirinya telah dimasukkan ke hospital selama tiga hari selepas disahkan mengalami penyakit vertigo.
Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar berkata, dia sepatutnya menjalani penggambaran sebuah rancangan televisyen baru-baru ini.
Namun, selesai mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh, dia merasakan rumahnya seakan-akan berpusing, sebelum dia jatuh pengsan.
Ketika itu ujarnya, dia hanya mendengar suara isterinya menangis dan menelefon jiran mereka untuk pertolongan.
“Hari itu, Abe Jo bangun pagi, masa nak ambil wudhu dan rasa macam pening-pening, Saya ingat saya mamai ke jadi teruskan lah pergi solat, masa tengah solat tuh, tengah berdiri tiba- tiba rasa rumah ini berpusing.
“Abe Jo tak cakap banyak… tersembam muka atas sejadah terus tak sedar apa. Dengar lah faz jerit-jerit dan menangis. Yelah suami dia pengsan depan mata kan, telefon jiran, telefon orang tu, telefon orang ini dan telefon ambulans,” kata beliau.
Pelakon berusia 38 tahun ini kemudian dikejarkan ke hospital sebelum doktor mengesahkan dia mengalami penyakit vertigo.
"Abe Jo macam sedar tak sedar, Jadi sampai hospital terus buat mri scan, paling takut sekali saya ni kena strok ke, saya ni kena sakit jantung ke, macam-macam lah.
“Yelah, tiba-tiba saja, tiada sakit ke apa ke dan dia tiada bagi hint ke tiba-tiba pengsan. Bila buat pemeriksaan, rupanya doktor cakap Abe Jo ini kena vertigo. Abe Jo pun tak tahu apa benda dan ini pertama kali dengar penyakit vertigo,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai khususnya para pengikutnya di Instagram, yang rata-rata mendoakan agar beliau cepat pulih, malah ada juga yang turut berkongsi pengalaman serupa.
Sumber: Instagram