Terima Kasih Shalin...

terima kasih shalin...

Selepas hampir 3 dekad mengharumkan nama negara dalam sukan boling, Shalin Zulkifli akhirnya buat keputusan untuk bersara.

Ratu boling negara itu menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 5 Januari dan diterima oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia, MTBC dengan hati terbuka.

Setiausaha Agungnya, Maradona Chok berkata Shalin telah lama memikirkan tentang persaraan dan akhirnya dia telah membuat keputusan. Pihak MTBC akan terus menyokong Shalin pasca persaraannya.

Ketua jurulatih boling kebangsaan, Holloway Cheah pula sifatkan persaraan Shalin sebagai satu kehilangan besar untuk pasukan kebangsaan. Jelasnya, personaliti yang dimiliki Shalin sukar untuk dicari ganti.

Shalin yang dilahirkan pada 1978 memulakan kariernya seawal usia 9 tahun sebelum meraih pingat pertamanya pada Sukan SEA 1993 di Singapura. Ratu boling negara itu meraih 2 emas dan 2 perak pada temasya itu.

Bermula daripada itu, Shalin terus mengumpul pingat demi pingat dan kejuaraan demi kejuaraan sekaligus meletakkan nama Malaysia di pentas dunia sukan boling. Dia dinobat sebagai olahragawati negara sebanyak 5 kali sepanjang kariernya iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Shalin juga menjadikan temasya Sukan SEA sebagai medan kutipan pingat apabila meraih 20 emas sepanjang kariernya sekaligus muncul atlet kedua dengan kutipan emas tertinggi pada temasya tersebut. Rekod kutipan emas tertinggi temasya itu masih dipegang oleh ratu renang negara, Nurulhuda Abdullah dengan 22 emas sehingga hari ini.

Pada 1994, Shalin berjaya meraih 2 emas pada Sukan Asia di Hiroshima dalam kategori trio dan all event. Pencapaian itu membolehkan dia dinamakan sebagai Olimpian Negara buat kali pertama pada usia mudanya. Shalin sekali lagi memenangi Anugerah Olimpian Negara pada 1999. Pada tahun tersebut, Shalin meraih 2 emas pada Kejohanan Remaja Asia dan menggondol 5 emas serta 1 gangsa pada Sukan SEA Brunei.

Antara pencapaian tertinggi yang diraih Shalin sepanjang kariernya adalah menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak 3 kali pada 2003, 2007 dan 2017.  Selain itu, Shalin muncul wanita pertama menjuarai Kejohanan Boling Dunia Masters di Essex, England pada 2001 selepas menewaskan peserta lelaki dari Finland pada aksi final.

terima kasih shalin...

Terdahulu, Shalin pernah luah yang dia ingin bersara selepas Sukan Asia 2022 sekaligus menyebabkan keputusannya bersara pada awal 2021 ini sesuatu yang mengejutkan.

Selama 28 tahun menabur bakti kepada skuad boling kebangsaan, pasti pelbagai cerita suka duka ditempuhi oleh ratu boling negara ini. Sudah hampir beratus pingat dan gelaran telah dimenangi untuk Malaysia, rasanya dia berhak untuk menentukan waktu persaraannya.

terima kasih shalin...

Kira-kira 2 bulan lagi sebelum menyambut ulangtahun kelahiran ke-43 nya, Shalin ucapkan selamat tinggal kepada skuad boling kebangsaan.

Bak kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti. Namun, tiada yang akan sama denganmu  wahai ratu boling negara.

Terima kasih Shalin. Terima kasih untuk semua pengorbanan dan semua pingat yang telah dimenangi untuk negara tercinta ini.

Semoga terus mencapai pelbagai kejayaan selepas bersara...

 

Oleh: Karami Kamel