Selepas filem aksi yang memaparkan kehebatan aset ketenteraan negara iaitu Paskal, kini ramai yang sudah tidak sabar menantikan filem yang terbaharu berjudul Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, yang mempamerkan pula paparan hebat pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Filem dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media ini telah menarik perhatian ramai menerusi satu klip teaser berdurasi 1:05 minit di laman sosial, malam semalam.
Mana tidaknya, aset tentera udara yang gempak dengan barisan pelakon yang mantap, membuatkan peminat tidak sabar untuk menonton filem ini pada Ogos depan.
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan Kapten Adib dan Major Adnan bersama skuadnya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, iaitu sebuah negara yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas.
Mengetahui akan perkara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran, abang ipar kepada Adib dan juga seorang pilot SUKHOI berusaha untuk menyelamatkan mereka. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan Frank See, lakon layar yang ditulis oleh Opie Harris, Peter Toyat dan Zulkarnain Azhar, membariskan barisan pelakon terdiri daripada Aiman Hakim Redza, Dato‘ Adi Putra, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As’ari, Pablo Amirul, Jack Tan, Sara Ali dan ramai lagi.
Sumber: GSCinemas / Kakimuvee