Pencarian bakat nyanyian baru, Penyanyi Top ERA menutup tirainya selepas mengumumkan Syazwan Syahmi, 23, sebagai juara pertandingan tersebut yang berjaya mengharungi pelbagai tugas dan cabaran sehingga ke pertarungan akhir.
Syazwan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan kontrak bersama muzik label Rocketfuel Entertainment.
Sementara itu, empat finalis akhir iaitu Maria Effendi, 25, Akmar Natasha, 23, Mohamad Afif, 26 dan Manzack, 29, pula menerima hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap seorang.
Dalam pertarungan akhir yang berlangsung di Kotak Hitam Space, Setia Alam itu, kesemua lima finalis mempersembahkan bakat nyanyian dan kreativiti mereka dengan iringan muzik dari kumpulan MADAM.
Penjurian di peringkat akhir dinilai oleh Kenny Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Sharon Paul, komposer terkenal Malaysia dan penyanyi popular, Hael Husaini, yang turut membuat persembahan istimewa pada malam itu bersama Irfan Haris.
Para peminat boleh menyaksikan rakaman pentas akhir Penyanyi Top ERA yang dibawakan bersama Kucaté di Facebook dan YouTube ERA.
Untuk maklumat lanjut, layari era.je atau ikuti laman media sosial ERA.