‘Jujur Kecewa, Tapi Saya Doa Yang Baik-Baik’ - Rozie Othman Kongsi Syasya Akan Ke UK

Dramatis, Rozie Othman berkongsi cucunya Syasya Rizal akan mengikut suaminya menyambung pengajian di luar negara selepas sambutan hari raya haji bulan depan.

Menurutnya, keluarga Syasya kini sedang dalam persediaan untuk majlis persandingan Syasya dengan pasangannya, Nasrullah di sebuah lokasi di ibu negara pada 8 Jun ini.

“Insya-Allah, pengantin akan diraikan dalam sebuah majlis persandingan yang menghimpunkan saudara mara, kenalan dan rakan artis.

“Rancangan mengikut suaminya sambung belajar di luar negara juga sudah muktamad. Mereka dijangka ‘terbang’ selepas sambutan hari raya Aidiladha.

“Ikutkan suaminya belajar di sana dua, tiga tahun cuma destinasinya saya lupa di mana, mungkin United Kingdom. Nanti apabila berpeluang jumpa Syasya saya tanyakan,” katanya. 

Dalam pada itu, Rozie berharap Syasya akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk meninggalkan industri hiburan.

“Sebenarnya suami Syasya mahu sambung pengajian dan mahukan ikatan yang sah. Syasya pula belum sedia tapi suami tetap mahu berkahwin.

“Jujurnya, saya kecewa mendengar berita mereka mahu berkahwin. Ketika mendapat tahu, saya berada di Mekah.

“Saya tanya kenapa nak nikah tergesa-gesa. Syasya sendiri hantar saya ke lapangan terbang dan mohon saya doakan yang baik-baik buatnya, tapi tak mengapalah. Mereka dah selamat nikah,” katanya.

Sumber: Kosmo