“Maya dah sebut mengenai filem itu dan kalau boleh nak saya mengarahkannya. Itu sebenarnya satu penghormatan buat saya.”
Demikian kata figura popular yang mengarahkan filem fenomena, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, iaitu Syamsul Yusof mengenai pelakon Maya Karin yang menyimpan hasrat untuk membintangi filem tentang Mahsuri, arahannya.
Menurutnya, dia terbuka untuk mencabar diri bagi menghasilkan filem yang menyentuh tentang kisah legenda dari Langkawi itu.
"Saya pun suka cabar diri sendiri nak buat cerita Mahsuri. Walaupun cerita ini lihat lahir dari drama, tapi saya sedar kewujudannya,” ujarnya.
Tambah Syamsul, dia sendiri menyukai kisah Mahsuri secara peribadinya dan terbuka untuk bekerjasama sekiranya Maya mempunyai pihak yang mampu untuk membiaya atau melabur bagi penghasilan filem terbabit.
“Saya suka dengan Mahsuri dan kalau Maya ada pembiaya atau pelabur saya tiada masalah untuk bekerjasama. Saya juga menanam minat untuk menghasilkan Mahsuri kerana ia juga salah satu epik Malaysia dan seharusnya difilemkan untuk tontonan masyarakat.
“Cerita Mahsuri pernah difilemkan, tapi bagi saya secara peribadi setiap pengarah ada cara penyampaian yang berbeza,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syamsul kini dalam proses penghasilan filem bertemakan pahlawan terbarunya, iaitu Pasir Salak: Datuk Maharaja Lela.
“Saya juga nak buat filem Pasir Salak: Datuk Maharaja Lela kerana Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pernah berhasrat menghasilkannya.
“Sekarang saya pula nak buat dan masih dalam perbincangan dengan anak beliau iaitu Putera Hang Jebat. Nak kena tengok hak cipta bahan yang dia ada milik siapa sama ada dia sendiri atau terbabit dengan adik-beradik lain.
“Saya tak nak ada isu kemudian hari. Namun saya secara peribadi nak bekerjasama dengan dia. Nak dapat bahan itu bukan percuma. Niat saya baik, tapi kalau tawarannya terlalu tinggi saya terpaksa buat kajian semula,” ujarnya.
Tambah Syamsul, dia sudah mempunyai skrip untuk filem tersebut, tetapi masih dalam proses perbincangan bersama Jebat.
Sumber: HMetro