Selepas meraih kejayaan menerusi filem fenomena Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, pengarah terkenal, Syamsul Yusof dilaporkan dalam penelitian untuk menghasilkan karya terbaru berkisarkan pahlawan tanah air yang lain.
“Semestinya saya nak hasilkan sebuah lagi filem epik yang memberi kesan, lebih mendalam serta impak kepada penonton juga masyarakat. Jadi, saya harus teliti sebab kita tahu di Malaysia ini ada ramai pahlawan yang berjasa.
“Oleh itu, saya nak tengok yang mana harus kita angkat. Iyalah, semuanya (pahlawan) harus diangkat, tapi saya perlu teliti terlebih dulu yang mana satu yang terbaik. Masih dalam penelitian, masih berfikir dan sedang berfikir yang mana yang terbaik,” katanya kepada satu portal akhbar tempatan.
18 Julai lalu, media tempatan melaporkan kerajaan negeri Terengganu sedia bekerjasama dengan Syamsul dalam menghasilkan filem pahlawan negeri itu seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.
Kongsi Syamsul, dia bersyukur dan menyambut baik hasrat tersebut.
“Insya-Allah, mungkin akan dibincangkan dengan lanjut sebabnya terus-terang saya sudah semestinya nak menghasilkan sebuah lagi filem epik,” ujarnya.
Sumber: HMetro