Selepas sebuah video yang menunjukkan Aliff Awang, suami kepada pelakon Fatin Afeefa, yang didakwa mengolok-olok kenderaan bukan supercar di sebuah pameran kereta baru-baru ini menjadi viral, beliau telah mendapat kritikan daripada ramai pihak.
Aliff, juga dikenali dengan nama panggilan Opai, akhirnya memutuskan untuk mengambil tindakan dengan memberikan penjelasan dan meminta maaf atas tingkah lakunya.
Beliau menjelaskan bahawa video tersebut diambil secara spontan semasa acara itu berlangsung dan beliau tidak ada niat untuk merosakkan reputasi sesiapa.
Opai memilih untuk menyampaikan rasa penyesalannya melalui video ringkas yang dikongsi dalam Instagram Stories peribadinya sebelum di kongsi semula oleh pengguna TikTok.
"Berhubung video saya yang sebelum ini viral (tular), saya ingin buat sedikit penjelasan. Video berkenaan dibuat sangat spontan ketika waktu itu.
"Sebenarnya kenyataan yang dibuat pada waktu itu ditujukan kepada kawan-kawan saya yang bawa kereta Mustang, kereta AMG yang datang pada hari itu dan tidak dapat masuk untuk sertai event pada hari itu.
"Bukan secara terbuka untuk hentam mana-mana individu mahupun kumpulan yang membawa kereta tersebut.
"Memang sangat spontan, semua orang juga tengah berseronok ketika itu. Tiada niat untuk jatuhkan sesiapa. Saya mohon maaf," katanya.
Sebelum ini, Opai telah dilihat menyertai pameran kereta diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur yang menampilkan pelbagai jenis supercar.
Kemudian, beliau telah dirakam dalam sebuah video, memberi nasihat kepada pemilik kenderaan bukan supercar agar tidak menghadiri pameran tersebut.
Dalam video tersebut, Opai menyebut model kenderaan tertentu, termasuk FK8R, AMG, Mustang, dan Honda pekak.
Selain menarik perhatian pengguna dalam talian dan selebriti, video tersebut juga menarik perhatian Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, yang memberi nasihat agar tidak menunjukkan sikap sombong atau menghina pemilik kereta, tidak kira jenis kenderaan yang mereka miliki.
Sumber: Sinar Harian