Industri muzik tanah air kini bertambah serinya selepas kemunculan kumpulan wanita baharu, Stellar.
Bernaung dibawah Sony Music Entertainment Malaysia, Stellar yang dianggotai empat gadis iaitu Farisa, Hany, Hasya dan Sheena meletakkan impian mahu berjaya seperti kumpulan wanita tempatan seperti Dolla dan De Fam.
“Sasaran pertama kami adalah lebih kepada para remaja dan wanita yang sedang mencari identiti tersendiri, terutamanya mereka yang ingin berpijak dengan kaki sendiri dalam meniti kehidupan yang semakin dewasa.
“Harapan kami, tentunya kami mahu orang ramai khususnya pencinta muzik di Malaysia menerima hasil karya yang kami tampilkan dan menjadikan ia sebagai sumber inspirasi dalam pelbagai situasi kehidupan.
“Selain itu, kami mahukan karya kami dijadikan sebagai sumber hiburan dan diterima oleh masyarakat dan pastinya kami mahu Stellar bertahan dan beriaya dalam industri hiburan,” kata Farisa mewakili Stellar.
Stella turut mengakui akan populariti kumpulan wanita lain yang sudah ada di Malaysia, namun mereka berprinsip ‘kalau mereka boleh, kenapa kami tidak?’.
Tambah lagi, keunikan kumpulan Stella ini ujar mereka adalah kerana mereka berani dan yakin untuk berhadapan dengan perjalanan yang pastinya mempunyai pelbagai dugaan.
“Kami adalah kumpulan yang betul-betul baru, bak kata orang masin ‘fresh’ lagi. Jadi, kami berani dan yakin untuk berhadapan dengan perjalanan yang tentunya mempunyai pelbagai dugaan, kita tahu, untuk menjadi penyanyi, bukan semuanya indah belaka.
“Selain itu, kami juga bersedia untuk menerokai pelbagai perkara baru tentang industri hiburan ini serta menerima teguran seandainya kami ada melakukan kesalahan. Untuk imej kami sebagai artis berkumpulan pula, tentunya setiap antara kami setia dalam persahabatan walau apa jua keadaan,” ujar Hany.
Kumpulan Stella ini akan muncul dengan single sulung mereka tidak lama sahaja lagi.
Sumber: Boom!