‘Takkan Nak Popular Sebab Gosip Macam Tu?’ - Stacy Tegur Sikap Kumpulan SMDX

Penyanyi Stacy menegur kumpulan baharu SMDX yang tular baru-baru ini kerana tidak mengenali ‘senior’ mereka Dolla, untuk sentiasa berhati-hati ketika berbicara. 

Menurut Stacy, lebih baik mereka terkenal atas sebab bakat yang dimiliki daripada terkenal kerana menjadi buah mulut orang disebabkan kelancangan terhadap penyanyi lain.

“Janganlah buat begitu, setiap orang ada kelas tersendiri. Takkan masuk industri mahu glamor dengan gosip sedemikian? Tidak boleh begitu.

“Kamu kena pergi dan naik dengan cara yang betul, tunjuk bakat awak dahulu, itu paling utama.

“Selancang mana pun mulut awak, kena belajar untuk diam, jangan main cakap sesuka hati,” katanya. 

Dalam pada itu, Stacy juga menasihatkan agar kumpulan tersebut untuk lebih sensitif selain perlu bijak menjawab apa jua soalan disua sama ada daripada peminat mahupun media.

“Awak datang dalam industri seni ini, awak kena bersedia dengan semua bentuk soalan.

“Kena berhati-hati dalam setiap yang kita buat baik melalui perbuatan mahupun percakapan.

“Biar orang kenal sebab bakat bukan kontroversi tidak enak didengar,” tambahnya. 

Sumber: Kosmo