‘Dulu Saya Takut Nak Jejak Masjid’ - Soo Wincci Teruja Hadiri Majlis Ceramah Bersama Ilmuwan

“Selama ini saya sering takut untuk ke masjid kerana selalu orang cakap bukan Islam dilarang masuk. Di Kuala Lumpur sendiri pun saya tak pernah masuk mana-mana masjid.”

‘dulu saya takut nak jejak masjid’ - soo wincci teruja hadiri majlis ceramah bersama ilmuwan

Begitulah perkongsian selebriti ternama, Dr Soo Wincci selepas menyertai majlis ilmu yang diadakan di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis pada 31 Ogos lalu.

Kongsi bekas Miss World Malaysia 2008 itu, beliau merasa tersentuh apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada panel majlis tersebut yang mengupas topik berkenaan keharmonian.

“Saya sebenarnya sangat tersentuh apabila dijemput menjadi panel ceramah itu. Banyak topik yang dikupas mengenai keharmonian negara dan lebih 100 hadir dari pelbagai latar belakang agama.

“Sesi selama lebih tiga jam itu begitu intim. Ia sekaligus menepis pandangan saya terhadap larangan masuk masjid sebelum ini kerana kehadiran saya dan penceramah berbangsa India ke sana sangat dialu-alukan," ujarnya.

Padanya, ia merupakan antara pengalaman paling berharga buatnya apabila dapat duduk semeja bersama para ilmuwan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama demi perkongsian ilmu.

“Saya gembira apabila ustaz yang terbabit pun berfikiran terbuka dan moden. Mereka memberi kami jawapan yang tepat untuk pelbagai persoalan kami ingin tahu. 

“Program itu sememangnya satu perbincangan yang cukup bagus dan membuka mata. Ia pengalaman pertama yang sangat berharga untuk saya,” ujarnya.


Sumber: HMetro

ARTIKEL BERKAITAN