Penyanyi, Siti Nordiana atau lebih disapa dengan panggilan Nana, rupanya sudah 14 tahun berstatus ibu tunggal dan kini masih lagi solo.
Menurut Nana, 38, sehingga kini dia masih belum mengenali sesiapa dan meminta agar orang ramai mendoakan dirinya.
“Buat masa sekarang ini, saya masih solo. Tidak mendirikan rumah tangga dengan sesiapa. Saya belum berkahwin lagi. Keinginan untuk berkahwin itu mestilah ada, sebagai manusia biasa.
“Tapi bukan sekarang atau dalam masa terdekat. Sekarang, tidak mengenali sesiapa pun. Minta semua orang doakan juga saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nana berkata dia mahukan pasangannya itu nanti adalah seorang lelaki yang boleh memahami dirinya, biarpun katanya dia sendiri belum ada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
Ujarnya, bukan mudah untuknya mencari jodoh yang tepat, lebih-lebih lagi untuk membuatkan seseorang itu menerima status dirinya sebagai ibu tunggal kepada seorang anak.
“Sebenarnya saya mencari seorang lelaki yang boleh memahami dan bertolak ansur dengan saya.
“Sebab itu untuk berkahwin lagi ini mengambil masa yang agak lama. Bukan senang nak cari jodoh yang tepat untuk saya.
“Yang cuba mendekati saya tidak perasan, mungkin ada yang cuba mendekati,” ujar Nana.
Untuk info, hasil perkahwinan sebelum ini, Nana dikurniakan seorang anak lelaki, iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia 15 tahun.
Sumber: Astro Gempak (Syafiqah Jalal)