Pelakon Siti Khadijah menentang sekerasnya perbuatan menganiaya haiwan yang tidak berdosa kerana menganggap semua haiwan juga mempunyai perasaan dan perlu dilindungi.
Menurutnya, dia memahami ada segelintir individu yang takut terhadap haiwan namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan penderaan terhadap mereka.
“Saya tahu ada yang takut kucing, anjing, katak dan sebagainya tetapi kalau anda tidak suka, saya merayu janganlah sakiti mereka.
“Saya baru sedar yang haiwan juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Ada perangai, trauma dan ketakutan.
“Ya ada yang memandang mudah terhadap haiwan kerana mereka tidak berdaya dan tidak boleh bercakap. Namun, itu tidak memberi anda hak sakiti mereka! Saya pantang kalau nampak orang cuba aniaya haiwan,” katanya.
Perkongsian ini dibuat sendiri oleh Siti menerusi sebuah fotonya bersama seekor anjing dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar memelihara kebajikan haiwan.
Sumber: Kosmo