“Mahu Cuci Hati” - Shahir Pasang Hasrat Untuk Pindah Ke Mekah, Madinah

Penyanyi Shahir akui menyimpan hasrat untuk berpindah dan tinggal di Madinah atau Mekah untuk mendekatkan diri dengan Allah. 

Menurutnya, dia dan isteri sebelum ini pernah berhijrah ke Madinah selama dua bulan lebih pada tahun lepas namun harus pulang ke tanah air atas sebab beberapa faktor. 

“Kami sudah berpindah dan ada rumah di sana. Ketika itu saya berulang-alik antara Madinah dan Malaysia selama dua bulan.

“Memang sudah lama saya bercita-cita untuk tinggal di sana. Bukan sebab ingin buka bisnes tetapi saya memang hendak tinggal di tanah haram.

“Tetapi kalau sudah tinggal di sana saya perlu berniaga untuk menyara kehidupan, tidak mungkin mahu duduk saja tanpa buat apa-apa,” katanya. 

Dalam pada itu, pada usianya kini Shahir akui mahu fokus ke rohani. 

“Saya masih menyimpan hasrat untuk tinggal di sana pada masa depan. Bukan hendak kata saya baik, tetapi saya mahu cuci hati.

“Dalam kehidupan ini kadang-kadang kita terlampau bergantung harap pada orang. Sebab itu semasa pindah di sana, saya langsung tidak membuat sebarang perancangan,” tambahnya. 

 

Sumber: Kosmo