Sejak diumumkan kerajaan, ramai pencarum KWSP diberi peluang untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP akaun 1 menerusi program i-Sinar.
Inisiatif yang diberi kepada ahli KWSP ini bertujuan bagi meringankan beban kewangan mereka yang terjejas ekoran daripada pandemik COVID-19 ketika ini.
Namun, menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, hampir separuh daripada golongan T20 yang telah memohon atau merancang untuk memohon pengeluaran i-Sinar menggunakannya untuk membuat pelaburan bagi membeli emas dan saham.
Hasil kajian melibatkan 809 responden dari seluruh negara mendapati 34.9 peratus menggunakan duit i-Sinar untuk tujuan tersebut merangkumi 47.7 peratus daripada pencarum T20, M40 (31.1 peratus) manakala B40 (35.3 peratus).
Selain itu, antara tujuan utama responden golongan B40 dan M40 berusia 26 hingga 55 tahun membuat pengeluaran i-Sinar adalah bagi membuat pembayaran balik pinjaman.
Menurut kajian itu lagi, hanya 48.6 peratus responden menggunakan wang itu bagi tujuan membeli makanan dan barangan dapur.
Sumber: Astro Awani / BERNAMA