Awal pagi tadi berlaku insiden sebahagian struktur besi kren jatuh di Jalan Alam Damai, Cheras. Pihak Bomba menerima laporan kejadian pada jam 8.45pagi. Seramai 25 anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak, Jalan Hang Tuah dan Cheras dikerahkan ke lokasi.
Komander Operasi, Penolong Kanan Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata insiden membabitkan 4 mangsa terdiri daripada tiga pekerja pembinaan dan seorang awam. Kesemua 3 pekerja pembinaan warga China itu meninggal dunia, manakala seorang awam cedera parah akibat kren jatuh menghempap keretanya. Jalan Alam Damai kini ditutup di kedua-dua arah berhampiran dengan kondominium Puncak Banyan, untuk kerja-kerja pembersihan. Difahamkan, polis sudah pun membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut. Setakat artikel ini ditulis, punca kejadian dan identiti mangsa masih belum didedahkan.
Oleh: Abdul Rahman Khairuddin