Memandangkan para pelajar tak boleh balik ke IPT lagi maka segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran perlu dilakukan secara maya.
Tapi, tak semua tempat ada rangkaian internet yang baik terutama sekali di luar bandar. Tak semua orang ada privilege dengan kemudahan internet yang baik.
Begitulah yang berlaku pada seorang pelajar Asasi Sains dari Sapatang, Pitas, Sabah, Veveonah Mosibin. Biarpun kampungnya sukar untuk mendapatkan rangkaian internet namun perkara tersebut langsung tidak menghalangnya untuk meneruskan pelajaran dan mengambil peperiksaan.
Beliau sanggup berkorban sehingga tidur di atas pokok semata-mata untuk mendapatkan rangkaian internet yang baik bagi menjalankan peperiksaan secara online.
Pelajar yang berusia 18 tahun itu memuat naik videonya berada di atas pokok melalui saluran YouTube miliknya. Tajuk video tersebut ialah 24 Hours On Tress | Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok).
Video yang berdurasi 11 minit 21 saat menunjukkan bagaimana beliau perlu memanjat pokok bagi mendapat capaian internet yang kuat sepanjang peperiksaan yang berlangsung pada 9 Jun lepas.
Dalam video itu juga, beliau menceritakan bagaimana mendapat idea untuk berkongsi perkara itu. Katanya, idea itu datang selepas pondok yang dibina di atas bukit bagi tujuan persediaan menghadapi peperiksaan rosak akibat cuaca buruk yang melanda.
"Sebelum ini saya telah bina pondok sebagai seperti video yang saya muat naik sebelum ini namun pagi ini (9 Jun), saya lihat ia telah rosak kerana saya sudah lama tidak datang, sudah berminggu-minggu kerana banyak kerja. Kerja di ladang, menoreh getah dan tolong ibu bapa.
Saat berada di atas pokok, Veveonah menghadapi beberapa cabaran terutamanya apabila seekor tebukan tanah yang agak besar saiznya telah masuk ke dalam kelambunya.
"Agaknya tebuan ini tersesat. Ni kalau menggigit ni, memang sakit," kata Veveonah yang membuka kelambu bagi menghalau serangga itu keluar.
Sumber: Sinar Harian