Rasanya semua dah tahu isu penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid yang viral ni kan? Ini selepas ada laporan mengatakan prestasi dalam padangnya merosot atas sebab peribadi. Betul ke prestasi dia merosot?
Sebabnya, ketua jurulatih JDT tidak beranggapan sedemikian selepas anak buahnya catat kemenangan 2-1 ke atas kelab Korea, Suwon Bluewings pada aksi Liga Juara-Juara Asia, Selasa lepas.
Menurut Benjamin Mora, Safawi mainkan peranan penting pada perlawanan itu dengan kerap memberi tekanan kepada barisan pertahanan lawan.
"Saya percaya Safawi akan bangkit menjaringkan gol jika dia kerap memiliki peluang ketika aksi menentang kelab dari Korea itu. Dia sudah beri yang terbaik malah dia juga merupakan pemain tempatan yang berkualiti,” kata Mora kepada Harian Metro.
Pengulas Astro Arena, Haji Zainal Abidin Rawop pula berpendapat Safawi mampu tingkatkan kembali prestasinya. "Dia telah mencuba habis-habisan tapi masih belum berpeluang dan belum ada rezeki menjaringkan gol".
"Ianya merupakan perkara biasa memandangkan ia cuma merupakan aksi kompetitif ke-3 Safawi dan saya percaya dia mampu bangkit selepas ini".
Diharap Safawi akan lupakan isu yang timbul ni dan berjaya kembalikan semula prestasinya di atas padang. Ye lah, Malaysia ada 2 perlawanan penting bulan ni iaitu aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan UAE dan Vietnam. Semua penyokong skuad Harimau Malaya pasti berharap Safawi mampu menyumbangkan sesuatu untuk skuad kebangsaan.
Itu pun kalau kedua-dua perlawanan tu tak ditunda oleh FIFA. Sebab sekarang ni kes COVID-19 tengah menular semula.
Oleh : Karami Kamel