Penyanyi, Shila Amzah menyifatkan sebuah kediaman yang besar dan mewah tidak menjanjikan kebahagiaan untuk sesebuah keluarga.
Menurut pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, 33, kediaman bersaiz sederhana sudah memadai kerana rumah yang besar antara faktor boleh memisahkan hubungan sesama ahli keluarga.
“Saya lagi memilih untuk menetap di rumah bersaiz lebih kecil sebab kediaman yang besar susah untuk dijaga.
“Kemudian apabila setiap ahli keluarga memiliki ada ruang sendiri, hubungan pun akan jadi renggang.
“Jadi, lebih baiklah rumah bersaiz sederhana sebab yang penting ada hubungan keluarga lebih erat dan tidak berpaksikan perkara dalam media sosial,” katanya dalam TikTok yang memaparkan ‘house tour’ rumah banglonya yang terletak di Hulu Langat.
Tambah Shila, beliau berkata kehidupannya kini tidak lagi berlandaskan kehendak dan keperluan media sosual seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya sudah berhenti daripada melakukan sebarang perkara yang berkiblatkan media sosial sebab tidak mampu untuk puaskan hati mana-mana pihak.
“Rumah yang besar bukan jaminan untuk buat kita bahagia dan gembira atau kekal bersama selama-lamanya.
“Dalam hidup tiada istilah semuanya bersifat selamanya. Sebagai manusia yang baik, kita perlu ingat bahawa semua perkara hanyalah bersifat sementara dan sekadar pinjaman,” ujarnya.
Dalam video itu lagi kelihatan Shila mengupah beberapa individu untuk membersihkan kediaman tersebut selepas ibu dan dua adiknya berpindah keluar sekitar Oktober lalu.
“Tempoh hari, saya panggil orang kemaskan rumah saya. Rumah sangat besar, kalau saya dan Ubai kemas sendiri memang tidak mampu.
“Jadi, inilah pemandangan daripada luar. Rumah ini menyimpan banyak kenangan sejak tahun 2008.
“Barang memang tiada, kosong. Entah mengapa setiap kali rumah ini, selalu rasa sedih, tidak tahu mengapa,” jelasnya
Sumber: Tiktok