Pembantu peribadi kepada pelakon Ruhainies mendedahkan keadaan terkini aktres itu selepas ditangkap berkhalwat bersama Aliff Aziz disebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Zahar atau Azhar Aziz berkata, Ruhainies kini menjadi lebih pendiam namun dia dalam keadaan okay dan masih bekerja seperti biasa.
“Keadaan dia okey sahaja dan masih bekerja seperti biasa cuma karakternya kini lebih banyak berdiam diri.
“Kami sebagai rakan juga menasihati agar tidak membaca dan menutup ruangan komen dalam media sosial namun dia sedar mengenai semua yang berlaku.
“Daripada pihak kami, memang sedikit tertekan membaca semua komen kecaman dalam media sosial,” katanya kepada Kosmo! Online.
Zahar yang mengenali Ruhainies sejak sembilan tahun lalu berkata, beliau yakin aktres itu tidak melakukan perkara tidak bermoral seperti itu memandangkan karakternya yang baik dan sopan-santun.
“Kami dapat tahu pada sebelah siang hari Sabtu dan terkejut. Kami tidak mahu komen tentang kejadian terbabit kerana tiada di lokasi.
“Tak mungkin Ruhainies berbuat begitu. Dia seorang yang baik, sopan-santun dan lemah-lembut. Dia bukan jenis begitu seperti yang dikatakan,” ujarnya lagi.
Sumber: Kosmo!