Penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa tidak dapat menahan air mata selepas mendengar suara sahabat baiknya, mendiang Glenn Fredly dalam konsert ulang tahun, 25 Shining Years yang diadakan di Bandung, baru-baru ini.
Menurutnya, ketika dia mendengar suara Glenn menyanyikan lagu “Sekali Ini Sahaja”, dia terlupa sahabat baiknya itu telah meninggal dunia dan ia hanya rakaman nyanyian penyanyi itu.
“Tiba-tiba sahaja, muzik berhenti. Ketika itu, suara Glenn berkumandang. Saya mencari-cari. Dalam hati saya berkata, di mana Glenn. Saya terlupa dia sudah tiada. Jadi, air mata jatuh dengan sendirinya.
“Sebelum ini, kami sering berduet bersama. Dia sahabat yang cukup baik. Sehingga sekarang, rasa rindu itu masih menebal. Oleh sebab itu, saya merakam semula lagu “Sekali Ini Saja” untuk mendiang,” ujarnya.
Jelas Rossa, dia punya sebab tersendiri untuk merakamkan semula lagu tersebut.
“Kami memulakan kerjaya seni pada waktu yang hampir sama. Apabila dia meninggal dunia, ia bagaikan satu pukulan untuk kami semua. Beberapa bulan sebelum dia meninggal, kami ada berjumpa.
“Jadi, saya dedikasikan lagu ini untuknya. Semoga legasi seninya akan sentiasa bersinar, biarpun dia sudah tiada,” ujarnya.
8 April 2020 lalu, Glenn yang terkenal dengan lagu “Januari” meninggal dunia akibat radang otak selepas ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi selama beberapa hari sebelum pemergiannya.
Sumber: Utusan