Pelakon, Sharnaaz Ahmad meminta agar peminat yang kerap ‘menjodohkan’ dirinya semula bersama bekas isteri, Noor Nabila, agar bersikap lebih sensitif dan menjaga batas memandangkan Noor Nabila masih lagi berstatus isteri orang.
Menurut Sharnaaz, ada segelintir warganet terutamanya di Tiktok yang membuat kompilasi gambar lama mereka sewaktu masih bergelar suami dan isteri.
Ujarnya, beliau juga tiada hak untuk memarahi tindakan netizen itu namun tetap mahu mengingatkan bahawa Nabila adalah isteri orang.
“Saya tidak berhak marah, malah saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Benda baik, orang doa yang baik, bukan minta saya pergi mati misalnya.
“Tapi, pada masa yang sama kita harus ingat. Dia masih isteri orang. Kena jaga sensitiviti dan perasaan suaminya juga. Jadi itulah pesanan saya buat semua,” katanya.
Tambah Sharnaaz lagi, beliau bagaimanapun terbuka mengenai soal jodoh, tetapi mengakui malu untuk menghebahkan kisah cintanya.
“Ada, saya ada berkenalan dengan gadis, tapi bila sudah usia macam ni, rasa malu nak cerita.
“Cukuplah, saya pernah melaluinya dulu dengan pasangan sebelum ini. Sekarang ini, media boleh tanya orang yang lebih muda tentang hal sebegini (cinta),” katanya lagi.
Sumber: Gempak