Pelakon, Raysha Rizrose tidak menafikan sudah merancang perkahwinannya bersama teman lelaki, Nabil Jeffri, namun enggan terburu-buru membuat keputusan mengenainya.
Menurut pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd Fariz berkata beliau dan teman lelakinya pernah putus hubungan selama empat bulan sebelum mereka berbaik semula.
Menurutnya, mereka sudah bercinta sepanjang 10 tahun lamanya sejak daripada sekolah menengah lagi.
"Kami berkenalan dan bercinta sejak dari sekolah lagi. Saya pun tak sangka, cepatnya masa berlalu dan sekarang hubungan kami dah 10 tahun. Tak dinafikan juga, memang sudah ada perancangan ke arah perkahwinan.
"Tapi, semuanya bergantung kepada saya kerana dia (Nabil) sudah bersedia untuk kami melangkah ke fasa perkahwinan. Cuma, saya yang perlukan masa lagi dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan," katanya.
Ditanya mengenai cabaran hubungan jarak jauh, Rasya yang kini berusia 26 tahun berkata beliau dan pasangan saling faham akan tuntuan karier masing-masing. Katanya, jika ada masalah mereka akan segera berbincang dan mencari jalan penyelesaian.
"Sepanjang tempoh 10 tahun ini, kami saling memahami tuntutan karier masing-masing. Malah, kalau ada masalah pun, kami segera berbincang dan selesaikannya. Tapi, tipulah kalau kami tak pernah bergaduh dan merajuk.
"Apapun, pada umur sekarang kami dah fikir ke arah perkahwinan. Maklumlah, umur setiap tahun meningkat dan buat masa ini, masih dalam perancangan lagi," katanya mengakui belum dirisik oleh buah hatinya itu.
Raysha menambah beliau mahukan majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak terlalu mewah tetapi dihadiri oleh ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat bagi meraikannya bersama.
Sumber: HMetro