‘Saya Tak Kenal Siapa Tu’ - Qistina Raisah Nafi Diri Subjek Video Tular

Bintang cilik, Qistina Raisah, 13, menolak dakwaan berkenaan dirinya yang dikatakan individu remaja berkelakuan tidak senonoh bersama pasangan, dalam video tular baru-baru ini.

‘saya tak kenal siapa tu’ - qistina raisah nafi diri subjek video tular

Walaupun tidak jelas paparan wajah individu terbabit, terdapat netizen yang membuat spekulasi, itu adalah dia.

Menurut Qistina, dia tidak faham mengapa namanya harus dikaiktan netizen sedangkan dia bukan individu yang menjadi subjek bualan terbabit.

“Saya ingin jelaskan, saya tidak kenal siapa individu dalam video itu, malah saya tidak tahu yang cuba dilakukan oleh pemilik rakaman tersebut.

“Apa motif dia memuat naik video berkenaan? Tetapi, itu bukan saya! Saya tampil membuat penjelasan ini kerana ada komen bertanya: ‘Adakah ini budak yang lupa password telefon?’.

“Saya tidak tahu mengapa nama saya dikaitkan, sedangkan individu dalam video tersebut bukan saya,” ujarnya.

Menurut pelakon drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari itu, dia sentiasa ditemani ibunya setiap kali keluar.

“Saya kalau pergi mana-mana, mesti ada emak sekali. Anda jangan risau, kalau pun nanti terserempak, saya pandai jaga diri lebih-lebih lagi apabila di depan khalayak.

“Saya masih ada emak dan ayah, malah mereka tahu apa yang saya buat. Kalau nanti orang nampak saya pergi ‘dating’, jangan risau kerana emak mesti ada sekali,”ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon yang juga popular di platform TikTok itu turut menasihati pemilik video itu supaya berhenti menyebarkan video fitnah yang tidak mendatangkan sebarang faedah pun.

“Untuk pemilik video yang sebar dan sesiapa yang komen, jangan buat fitnah kerana takut orang lain yang baca akan mempercayai dan menyebarkannya.

“Saya tidak mahu ia menjadi fitnah sebab kita tidak tahu siapa sebenarnya individu dalam video tersebut,” ujarnya.

 

Sumber: Utusan