Putrajaya Bermandi Cahaya Jalur Gemilang Hingga 16 September

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini, Putrajaya akan dilimpahi dengan cahaya lampu yang bertemakan empat warna Jalur Gemilang.

putrajaya bermandi cahaya jalur gemilang hingga 16 september

Menerusi program Pencahayaan Malam PPj yang bermula sejak 1 Ogos lalu, Putrajaya akan dilimpahi sinar lampu warna merah, putih, biru dan kuning sehingga 16 September depan.

 

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Norzita Abdul Razak berkata, pencahayaan di bangunan kerajaan dan komersial itu akan berlangsung dari 7 malam hingga 12 tengah malam pada setiap hari termasuk cuti umum dan hujung minggu.

 

Terdapat tiga kategori pencahayaan iaitu lampu LED, warm white dan pencahayaan dalaman.

 

Lampu LED berkonsepkan Jalur Gemilang dinyalakan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Hotel Zenith, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, dan pancuran air di Presint 1.

 

Pencahayaan warm white pula melibatkan semua bangunan kerajaan, komersial dan struktur di Putrajaya. Pencahayaan dalaman (internal lighting) berkonsepkan 'lantern' melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

 

Selain itu, PPj sudah mula memasang sebanyak 4,400 Jalur Gemilang di tiang-tiang lampu, taman-taman awam serta premis milik PPj seperti kompleks kejiranan, medan selera, dewan dan perpustakaan sejak 15 Julai.

 

Sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal pada 31 Ogos ini yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka ibu negara, pastinya dinanti-nantikan ramai selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik COVID-19.

 

Sumber: Astro AWANI / BERNAMA