Pelakon, Puteri Balqis menegaskan kefasihannya bertutur dalam Bahasa Inggeris bukanlah bertujuan untuk menunjuk kehebatan diri kepada orang ramai, sebaliknya mahu menanam minat dalam kalangan umum mengenai kepentingan bahasa perantaan dunia itu.
Menurut pemilik nama sebenar Puteri Balqis Azizi, 17, bahasa itu adalah satu bentuk pendidikan dan menjadi peranta komunikasi apabila berada di tempat orang.
“Bukan nak bongkak tetapi hakikatnya adalah satu bentuk pendidikan.
“Pelbagai jenis kerja yang memerlukan kita bertutur dalam bahasa Inggeris. Tak akanlah kita pergi Sepanyol hendak cakap Melayu pula,” katanya.
Katanya, usaha gigih ibunya membeli bahan bacaan sejak dari kecil membuahkan hasil apabila beliau mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan cukup baik.
“Ibu saya rajin, beli buku alfabet dan dia akan menyenaraikan setiap perkataan mengikut huruf selain membenarkan saya menconteng di mana sahaja termasuk pada dinding rumahnya.
“Semua itu nampak sukar tetapi hasilnya sangat berbaloi,” kata beliau yang mesra disapa dengan panggilan Aqish.
Dalam pada itu, beliau berkata mahu memberi fokus kepada lakonan di Malaysia terlebih dahulu, sebelum melebarkan sayap ke pentas antarabangsa.
Terdahulu, ada segelintir individu yang berpendapat pelakon remaja ini sengaja mahu menunjuk-nunjuk kerana fasih berturut dalam bahasa Inggeris, menerusi video-video di media sosialnya.
Sumber: Kosmo!