Suami kepada pengacara popular, Neelofa iaitu Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan PU Riz, menyeru agar para suami untuk menghargai pengorbanan isteri yang bertarung nyawa melahirkan cahaya mata.
Menurut PU Riz, wanita merupakan insan hebat, tambah pula pengorbanan wanita bergelar isteri sepanjang hamil dan bersalin bukanlah suatu perkara mudah.
“Besar pengorbanan isteri kita, dia sudah melahirkan zuriat dan kita pun tenang tengok anak-anak membesar dengan sihat.
“Kalaulah ada lebihan-lebihan ‘tayar spare’ dekat badan dia atau badan dia dah tak macam dulu, janganlah dilihat kepada itu semata-mata.
“Kita pandang dari sudut pengorbanan seorang isteri yang berjuang melahirkan benih kita,” katanya menerusi satu video dalam TikTok.
Beliau yang juga bapa kepada dua orang anak lelaki itu berkata lagi kenangan menyaksikan sendiri proses kelahiran anak-anaknya itu adalah perkara yang tidak dapat dilupakan.
“Sebab tu orang lelaki, kalau isteri tengah bersalin tolonglah masuk tengok. Saya pertama kali masuk rasa nak pitam dalam bilik tu, selepas itu yang kali kedua pun saya rasa nak muntah, bukan geli, tapi rasa kasihan.
“Perubahan fizikal pada tubuh badan wanita selepas bersalin seharusnya dihargai. Kalau dia pakai seksi dan ada ‘beberapa lebihan’, jadikan satu peringatan untuk kita.
“Kita hargailah pasangan kita, terutama yang pernah bersalin dengan penuh kesusahan,” tambah beliau.
Untuk info, Neelofa dan PU Riz telah mendirikan rumahtangga pada 27 Mac 2021, dan kini dikurniakan 2 orang putera iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, 7 bulan.
Sumber: Tiktok