Bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tugas memantau pergerakan orang awam ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, polis Terengganu kini menggunakan teknologi dron pengimbas.
Dron pengimbas itu dilaporkan mampu mengesan suhu badan dalam kelompok manusia pada jarak 20 meter dari udara.
"Sekiranya dron ini mengesan individu yang mempunyai suhu badan tinggi seperti 37.5 darjah Celsius, ia akan menyalakan lampu merah dan anggota penguatkuasa kita akan segera ke lapangan untuk mengenal pasti individu bergejala itu.
"Dron ini kita telah gunakan sejak dua atau tiga hari lepas dan ia sangat membantu pasukan pemantauan kita. Walaupun kita ada 157 pasukan pemantauan SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
"Ini menyebabkan mereka tidak dapat memantau semua tempat secara serentak termasuk mengesan individu bergejala yang berada di tempat awam," kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.
Menurutnya lagi, dron yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu dipinjamkan oleh sebuah syarikat swasta negeri untuk kegunaan pihak polis sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ini.
Sumber: Astro AWANI / Bernama