Peminat bola sepak kena tunggu lebih lama untuk menyaksikan Piala AFF 2020!
Sebabnya, kejohanan bola sepak Asia Tenggara itu hanya akan bermula pada 5 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022.
Piala AFF terdahulu dijadual berlangsung 23 November lalu sehingga 31 Disember ini.
Namun akibat pandemik COVID-19, kejohanan itu telah ditunda ke April depan sebelum ditunda sekali lagi ke penghujung tahun 2021.
Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara berkata keputusan itu terpaksa dibuat kerana mengambil kira keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat dengan kejohanan tersebut.
Presidennya, Mejer Jeneral Khiev Sameth berkata walaupun terdapat perkembangan positif berhubung vaksin COVID-19 namun pihaknya enggan ambil risiko untuk meneruskan kejohanan tersebut.
Ini kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana kejohanan tersebut melibatkan semua negara Asia Tenggara yang memerlukan perancangan terperinci.
Selain itu, menunda kejohanan tersebut ke hujung tahun depan turut akan beri lebih masa kepada pihak terlibat untuk memastikan kelancaran kejohanan berkenaan.
Untuk rekod, Vietnam muncul juara edisi lalu apabila menewaskan skuad Harimau Malaya 3-2 secara agregat pada aksi final.
Malaysia meraih 2 lagi gelaran naib juara iaitu pada 1996 dan 2014 serta pernah menjulang trofi tersebut sekali pada tahun 2010.
Oleh: Karami Kamel