Pernah Alami Lonjakan Kes Akibat Serangan Varian Delta, Labuan Kini Sifar COVID-19

Ahad lalu, Labuan berjaya mencatatkan angka sifar bagi kes COVID-19.

pernah alami lonjakan kes akibat serangan varian delta, labuan kini sifar covid-19

Ia merupakan satu kejayaan besar buat wilayah tersebut memandangkan ia pernah melalui fasa kritikal yang mana wilayah yang memiliki populasi lebih kurang 99,500 penduduk itu pernah menyaksikan lebih 1,000 kes direkodkan hanya dalam tempoh seminggu.

“Penurunan ketara bagi jumlah kes positif dan kematian sejak bulan lalu menunjukkan program vaksinasi telah berkesan dalam meratakan lekuk penularan COVID-19.

“Jumlah kes harian COVID-19 terus menurun ke paras rata sejak beberapa bulan terakhir apabila pulau ini memperluaskan kelayakan vaksin kepada semua orang dewasa,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Asmuni Bohari.

Tambah beliau, angka kematian akibat COVID-19 turun menurun sejak minggu kedua Julai selepas program vaksinasi dijalankan dengan berkesan.

Sebagai makluman, tahun lalu, Labuan pernah dilanda gelombang kedua COVID-19 dari Oktober 2020 hingga Jun 2021 serta mencatatkan 1,598 kes dalam tempoh dua bulan dengan kematian berlaku setiap hari.

“Labuan dilanda lonjakan mendadak dalam kes positif pada 24 April tahun ini apabila kita terpaksa berdepan serangan tidak dijangka varian Delta yang berpunca daripada pekerja asing di sektor berkaitan minyak dan gas,” kata beliau.

Berikutan serangan varian Delta, jumlah kes aktif difahamkan menyaksikan peningkatan luar biasa sebanyak 63 kali ganda sekitar awal Jun dengan jumlah kes harian yang dicatatkan melebihi 200 di wilayah itu.

“Ada satu ketika kita merekodkan kes positif sehingga 1,344 kes dalam seminggu. Bagaimanapun, proses vaksinasi berjalan lancar meskipun terdapat peningkatan jumlah kes dan munculnya varian Delta.

“Bayangkan, Hospital Labuan hanya mempunyai 122 katil tetapi peningkatan mendadak kes positif sampai ke peringkat kita terpaksa mengubah wad biasa kepada wad COVID-19, membuka lebih banyak pusat kuarantin dan akhirnya mendirikan hospital medan COVID-19,” terang Dr Ismuni.

Situasi tersebut bagaimanapun berjaya diatasi, menurut Dr Ismuni, berkemungkinan kerana sekatan pergerakan yang diadakan berserta program vaksinasi yang berkesan.

“Ketika ini, kita hanya ada dua kes di unit rawatan rapi (ICU) di hospital, tidak seperti sebelum ini apabila kita terpaksa meminta bantuan oksigen dari tanah besar Sabah berikutan lonjakan bagi kes kategori tiga dan empat daripada lima kategori penyakit itu.

“Pembukaan lebih banyak pusat vaksinasi, iaitu daripada dua kepada sembilan, serta prosedur vaksinasi melalui jumpa terus (walk-in) dan pandu lalu (drive-through) membantu melancarkan dan mempercepatkan program...dan membolehkan masyarakat kembali ke kehidupan yang hampir normal,” jelasnya lagi.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN