Perlis, Kelantan & Terengganu Catat Kadar Kebolehjangkitan Tertinggi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan negeri Perlis, Kelantan dan Terengganu kini mencatatkan nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai RT tertinggi setakat 9 Ogos 2021.

 

Perlis mencatatkan nilai RT 1.33, diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.24), dan Terengganu (nilai RT 1.18). Semua negeri di Malaysia juga mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

perlis, kelantan & terengganu catat kadar kebolehjangkitan tertinggi

Dalam perkembangan sama, sebanyak 19,991 kes harian dilaporkan pada 10 Ogos 2021, dengan sebanyak 385 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 19,606 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Hanya 4,632 kes (23.2 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

perlis, kelantan & terengganu catat kadar kebolehjangkitan tertinggi

Tambah lagi, sebanyak 201 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 87 kes di Selangor, 37 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 20 kes di Johor, 14 kes di Perak, 12 kes di Sabah, 10 kes di Pulau Pinang, lapan (8) kes di Melaka, lima (5) kes di Negeri Sembilan,masing-masing tiga (3) kes di Kedah dan Sarawak, dan dua (2) kes di Terengganu.

 

Selain itu, kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenalpasti sebanyak 47 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC).

 

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 667 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa, dan tiga (3) kes varian Eta.

 

Sumber: KKM